Isnin, 27 Februari 2012

MENGAPA AKU INDA MENGAMBIL MAMA....?

Alhamdulillah, sudah tercatat segala kenangan yang dilalui oleh bis Bapa, Si Awang, Si Aji, Si Alai dan Si Busu bagi membawa Mama balik kepada kami semua. 12-13 jam berlinangan dengan airmata adalah suatu deretan saat yang amat berat untuk dilalui.


Sebelum ani aku selalu terfikir mengapa aku inda ikut ke KK mengambil Mama?, mengapa aku membiarkan Bis durang ke KK walhal aku sendiri sudah kana offer?. Waktu atu kalau ku kan ikut, aku sudah sedia pasal aku baru balik dari KL dalam seminggu. Seperti satu penyesalan dalam diriku pasal inda ikut mendangani Jenazah Mama di KK.


Sesungguhnya Allah s.w.t amat jelas hikmahnya untuk diteliti. Hari ani, baru ku terfikir mengapa aku inda ikut ke KK. Persoalan utama yang akan aku hadapi: "Adakah aku akan setabah Bis Bapa? Si Awang? Si Aji? Si Alai? atau Si Busu???...


Kukanang semula subuh atu saat aku mendapat 'confirmation call' dari Si Billah.


"Bang Mit..., sabar saja Bang Mit ah..., confirm Mama meninggal..."


Saat atu, aku sudah payah rasanya kan benafas. ani kan pula kan menghadapi sekujur tubuh yang kaku dan paling ku sayang di muka bumi ani?. Ku akui, biarpun hatiku berkata "aku inda sampat meliat muka Mama untuk kali terakhir?" tetapi masa ani, otakku mula menerima hakikat bahawa aku inda akan mampu menghadapi keadaan atu... dan sekurang-kurangnya, aku sempat memigang Mama,,,


Ya Allah... kiranya aku dapat mengundur masa, dan dapat merubah semua keadaan, nascaya aku akan tetap akur terhadap Qada dan Qadar Mu....

Sabtu, 25 Februari 2012

MA... BALIK KETANI MA ...(part 2)

PART II

Bilik Gerakan, Queen Elizabeth II Hospital, KK

Setelah semua waris mengenalpasti jenazah, kami semua dibawa balik ke Bilik Gerakan, Hospital QE.  Yang digelarkan Bilik Gerakan ani sebenarnya adalah bilik mesyuarat.  Disanatah jua mangsa yang mendapat kecederaan ringan berehat, belimpang atas kusyen kerusi yang diampaikan diatas lantai.  Disanatah jua pasukan Kementerian Kesihatan memberi rawatan yang mampu diberikan. Disanatah jua operasi dan urusan membawa balik jenazah dibuat.  Semuanya dibuat didalam bilik atu. 

Kami keluarga mangsa hanya duduk melihat keadaan sekeliling. Pihak Kementerian Kesihatan memberikan sebotol air mineral dan sepotong roti biskut kepada setiap seorang.  Ku lihat bapa minum air dan memakan biskutnya…mungkin ia lapar. Kusimpan dulu biskutku untuk kemudian. 

Kemudian YB Pmk Menteri Kesihatan membawa siapa yang ada dalam bilik atu bertahlil.  Tahlil diketuai oleh SUT Kementerian Hal Ehwal Ugama.  YB Pmk Menteri Kesihatan duduk betul-betul berhadapan dengan bapa.  Dalam ku mengikut bacaan tahlil, mataku melirik ke sebelah kanan, melihat pintu masuk Bilik Gerakan.  Disini terjadi pengalaman yang inda dapat ku lupakan.

Mungkin ia imaginasiku, tapi berkali-kali ku gosok mataku, melap airmata yang keluar supaya penglihatan lebih jelas..apa yang ku lihat tetap sama.  Di  muka pintu bilik Gerakan, ku lihat ada Mama berdiri disana.  Wajahnya bersih bercahaya, tersenyum melihat aku… Adakah ia imaginasiku?  Aku tunduk dan melap air mata dan ku lihat lagi kearah pintu…ku lihat Mama masih berdiri disana… Tersenyum kepada ku dengan kedua tangannya mendakap di dadanya seolah-olah sedang berdoa…

Sempat ku beritahu Bapa yang sedang bertahlil….”Pa… Mama tu berdiri di pintu ah…”

Bapa menoleh kearah pintu dan terus bercakap “ Busu, bawa membaca-baca..jangan cemani, kau lagi karang kan difikirkan disini”.. Selepas Bapa cakap cematu, ku lihat semula ke muka pintu…inda ada lagi Mama yang ku lihat tadi.. Wallahu’alam.

Selesai bertahlil, Bapa menyertai sembahyang Subuh berjemaah.  Sekali-sekala ada Bang birin datang ke Bilik Gerakan, ia sibuk menguruskan dokumen sebab Bapa mewakilkan arah Bang Birin untuk semua urusan dokumentasi.

Belum lama selepas selesai sembahyang Subuh, kami semua diberi penerangan oleh YB Pemangku Menteri Kesihatan mengenai urusan yang akan dibuat keatas jenazah.  YB Menteri meminta izin dari keluarga bagi semua jenazah untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan di KK sebelum diterbangkan ke Brunei.  Biar sudah selesai urusan dan sempurna diterima di Brunei.  Mengikut perancangan semua jenazah akan dibawa dulu ke Jame-Asr untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke rumah masing-masing untuk kali yang terakhir.  Kereta jenazah juga telah diuruskan dan disediakan untuk setiap jenazah yang dibawa balik.

Aku ingat Bapa menjawab masa atu “Kaola serahkan saja kepada abis Pehin, kaola nda lagi terdaya masa ani, kalau baik pada Pehin, baik tah jua kepada kaola…”. 

Selepas itu para keluarga mangsa yang terkorban dikumpulkan lagi untuk dibawa mengiringi jenazah untuk dimandikan dan dikafankan.  Aku, Bapa dan Bang Birin menaiki kereta yang disediakan menuju semula ke Bilik Mayat, tempat terjadinya memori paling sedih dalam hidupku.

Bilik Mayat, Hospital Queen Elizabeth II, KK, waktu sekitar 5 – 6 pagi.

Kami sampai ke bangunan Rumah Mayat.  Ada beberapa buah kereta jenazah beratur menunggu giliran untuk membawa jenazah.  Kami disuruh masuk untuk mengesahkan dan seterusnya mengiringi jenazah.

Aku, Bapa dan Bang Birin hanya berdiri melihat bangunan Rumah Mayat ani dari jauh… setelah kami di panggil masuk, perlahan-lahan kami mula berjalan.  Tiba-tiba Bapa berhenti melangkah dan kami merasakan badannya hampir rebah…

Dengan airmatanya Bapa pun bercakap “Birin, Busu…. Mamamu bejalan dari kediaku sempurna ia… ani mengapa mayatnya yang ku ambil…?” Kami inda terbunyi mendangar luahan hati Bapa… Kami bertiga hanya menangis di luar bangunan Rumah Mayat.

Tapi terpaksa jua kami tempuhi…kami masuk ke dalam dan dibawa ke tempat penyimpanan jenazah yang agak dingin suhunya.  Ku lihat ada nama Mama di tampal pada pintu tempat penyimpanan yang tengah-tengah…Pintu empat segi itu dibuka dan katilnya ditarik… Kami mengesahkan jenazah Mama dan jenazah Mama pun ditempatkan didalam keranda yang disediakan.  Keranda pun dimasukkan kedalam kereta jenazah…

Kami bertiga masuk dalam kereta jenazah bersama keranda… Masa atu sungguh ku terasa dagang… Aku menangis… menundukkan kepala diatas keranda Mama….inda percaya dengan apa yang ku lalui…. Kami sudah berjanji inda kan meninggalkan Mama sendiri…. Dan akan kami iringi setiap perjalanan….

Dalam tangisku, mulutku inda henti membacakan Surah Al-Fatihah..Cuma atu yang ku ingat… Bapa menyuruh aku bertenang dan jangan terlampau menuruti tangis dan perasaan….

Kami dibawa ke Kem Pengkalan Tentera Lok Kawi untuk urusan selanjutnya.

Masjid As-Salam, Kem Pengkalan Tentera, Lok Kawi, sekitar 6:30 pagi

Kami tiba di Masjid As-Salam, Kem Pengkalan Tentera Lok Kawi. Bang Birin segera mendangani mengangkat keranda Mama masuk kedalam satu kompleks bangunan kecil, inda jauh dari masjid, kira-kira 500m.  Rupanya bangunan atu tempat memandikan jenazah.

Aku mendangani Bapa..mencari tempat duduk yang sesuai untuk Bapa… Kami berehat diatas sebiji batu besar dibawah pokok diluar Masjid… Disana tah Bapa duduk menunggu…

Tiba-tiba Bang Birin memanggil aku dari tempat memandikan…. Sudah ku aga, Bang Birin mengunjuk sebuah beg plastik… “nah Busu pigang ni… seluar baju Mama…” Kami berdua bertangisan lagi melihat pakaian Mama yang dipakainya semasa kejadian….

Bang Birin menyuruh aku masuk kedalam tempat memandikan… ku lihat jenazah Mama diletakkan bersama 3 jenazah perempuan yang lain… Aku inda tau apa yang patut dibuat…. Ku telefon Billah meminta nasihat..”Masuk saja ikut….Mula-mula liat dulu lepas atu dangani menjangkau jua…dengani menggosok-gosok…”

Perlahan-lahan aku pun mengambil sarung tangan getah untuk menolong penggapai-penggapai yang ada.  Aku menolong memegang jenazah dan memerhatikan cara memandikan jenazah.  Sempat ku menolong urusan untuk 2 jenazah…

Mama jenazah ketiga untuk dimandikan…. Sempat Bapa masuk sekajap…. Dan aku pun berpasan arah Bang Birin “…jangan tinggalkan aku Bang Birin….dengani aku disini..”

Setelah jenazah Mama diletakkan diatas tempat pemandian, kain penutupnya pun dibuka.  Baru lah aku nyata melihat Mama… wajah Mama sama macam ia tidur… tenang dan matanya tertutup rapat…. Tapi aku rawan hati melihat luka yang ada nampak dari kecederaan dan dari bedah siasat yang dijalankan… Luka Mama inda banyak..mungkin Mama banyak kecederaan dalaman… Badanku lamah melihat luka-luka kecil di jari Mama..terbayang ku tarus jari-jarinya atu yang menguli tapung, mengurut badan dan kepala anak cucunya…. Ya Allah, mudahan Mama inda ada merasa apa-apa kesakitan pada saat akhir hidupnya…

Aku terus berpegang pada tempat pemandian…takut badan ku rabah sebab kaki terasa sangat lemah melihat Mama… Penggapai pun bercakap  “…Adik..jangan begitu adik..jangan terlampau menangis…. Adik mesti tabah… jangan airmata kena pada ibu….dan adik mesti yakin apa yang Adik buat untuk ibu adalah betul..jangan risau kakak akan tolong…”

Penggapai pun membantu dalam memandikan jenazah Mama…ku capai sabun dan ku cuci rambutnya…serpihan kaca dan ranting kayu melekat dirambut Mama… ku gosok bekas darah yang kering pada jari-jari Mama… masa atu aku berbisik pada Mama..”Ma…ampunkan aku kalau mandianku inda sempurna… aku inda pandai cmana Ma… nda ku tau…”… ku tahan air mata dari terus keluar dan menumpukan perhatian untuk menyempurnakan mandi untuk Mama…Bang Birin mendangani aku mengumpulkan rambut-rambut Mama yang luruh….

Setelah selesai mandi, aku sebagai waris perempuan yang ada disuruh mengambil wudhu untuk Mama… Kerana perasaan yang bingung… niat wudhu pun aku inda kan ingat… baik jua penggapai banyak membantu….

Selesai memandikan… aku dan Bang Birin mendangani mengkafankan Mama… Bapa pun masuk jua melihat jenazah Mama dikafankan.. ku bagi haruman pada jenazah Mama… Aku dan Bang Birin menggenggam kaki Mama yang telah dikafankan dan kami cium… sungguh rawan hati kami masa atu…

Jenazah Mama di tempatkan didalam Masjid bersama 6 jenazah yang lain untuk disembahyangkan… ku ambil Surah Yaasin dan duduk disebelah jenazah Mama membaca surah Yaasin…. Di beranda Masjid, tentera yang ada sibuk menyediakan keranda khas untuk jenazah… Bang Birin membantu memastikan keranda untuk jenazah Mama… Kalau aku inda salah.. keranda Mama No. 6, ditampal label nama Mama…

Ketujuh-tujuh jenazah disembahyangkan di Masjid Lok Kawi…. Hiba suara imam yang mengimamkan menahan sendu tangisnya.. aku berdiri diluar masjid menunggu jenazah Mama dibawa turun… Cuaca di KK terasa sangat panas..macam menggigit di kulit rasanya… jauh berbeza dari cuaca di Brunei yang kami kena beritahu hujan turun dengan lebatnya..

Selesai sembahyang, jenazah satu persatu dimasukkan dalam keranda… dan diangkat kedalam kereta jenazah yang menunggu…. Aku, Bapa dan Bang Birin masuk kedalam kereta jenazah bersama Mama…mengiringi jenazah mama dalam perjalanan terakhirnya di dunia ini….

Kami dibawa ke KK International Airport… kelihatan kapal terbang RBA sudah menunggu untuk membawa kami balik.

KK International Airport

Sampai di airport, Bang Birin segera membantu mengangkat keranda Mama untuk dimasukkan kedalam pesawat.. Aku membawa Bapa ke tempat menunggu dan segera naik ke kapal terbang setelah diarahkan.

Dalam kapal terbang, Bapa menangis…”Orang keluar negeri membawa cenderamata..aku keluar negeri membawa mayat biniku..”

“Sabar Pa…sudah cubaan ketani….baiktah kita bawa tidur Pa…sudah sampai di Brunei… ada lagi urusan kan diselasaikan..bawatah tidur sekajap…” Ku cuba tenangkan hati Bapa…

Bang Birin pun masuk kedalam kapal terbang dan duduk sebalahku… Kami diberi air oleh stewardess yang bertugas…biskut yang kusimpan tadi ku bagi Bapa…terus dimakannya…baru tah kami terasa lapar…

Sepanjang penerbangan… Bapa sekajap saja belurih tidur…aku membaca Yaasin yang ku bawa dari Masjid Lok Kawi… dan Bang Birin tertidur sebelahku….Mama inda sendirian….kami mengiringi perjalanan Mama kali ani…

Brunei International Airport

Ramai orang ada di airport menunggu ketibaan penerbangan kami… suasana sedih menyelubungi airport… Bapa di takul hiba oleh orang yang ada di Airport sebaik sahaja keluar dari kapal terbang…menandakan rasa simpati atas apa yang terjadi…

Perjalanan kami ke KK dan pengalaman selama 12-13 jam tidak mungkin ku lupakan sepanjang hidupku… Disana kami mengenalpasti jenazah Mama..Alhamdulillah aku sempat menyempurnakan Mama..berpeluang memeduli Mama untuk kali yang terakhir…Disana jua kami mengambil Mama dan mengiringi perjalanannya yang terakhir…

Mama..sudah tertulis dalam Loh Mahfuz, kesudahan hidup yang dilalui… Ya Allah Ya Tuhanku, rahmatilah roh Mama… tempatkan rohnya disisiMu bersama orang-orang yang beriman.. Ampunkanlah dosa Mama Ya Allah, Terimalah amal jariahnya…terimalah amal ibadatnya….Ya Allah, aku teramat sayang pada Mama, tapi aku redha, Kau lebih menyayangi Mama..aku bersyukur keatas 32 tahun Kau pinjamkan Mama dalam hidupku…

Ya Allah Ya Tuhanku….limpahkanlah rahmatMu pada Bapa… tenangkanlah fikirannya, tabahkanlah hatinya dan sihatkan tubuh badannya… berikanlah kedua ibu bapaku kesejahteraan dunia dan akhirat….Kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihi kami sedari kecil…

Amin Ya Rabbal Alamin..

Sekian.

Isnin, 20 Februari 2012

21HARIBULAN, AKU DAN MAMA...

Hari ani, 21hb datang lagi, suatu tarikh angka yang menjadi keramat bagiku. Tarikh yang seharusnya menjadikan hari yang mengembirakan bagiku, dan tarikh angka yang juga membuatku menangis seorang diri.

Apalah erti 21hb tanpa kehadiran Mama?...

Hari ani 21hb Februari, hari ani hari jadiku. Genap usiaku dilahirkan oleh Mama. Dan secara kebetulan jua tarikh 21hb Februari, genap 2 bulan Mama sempurna dikembalikan ke asalnya.

Aku inda akan lupa tarikh ani. Tarikh aku dilahirkan dan tarikh genapnya 2 bulan Mama dikembalikan.

Tahun lapas, 21hb Februari 2011, Mama datang ke  rumahku untuk sama-sama meraikan ulang tahun hari lahirku. Tapi tahun ani… Mama… aku rindu Mama…


21haribulan…
21haribulan...
Kau datang jua.
Bersama sebuah kegembiraan yang tak menjadi
Untuk menguntum senyuman tapi gagal…

21haribulan…
Lahirnya sekeping hati
Tapi…mengapa?...
mengapa harus kembalinya penawar kalbu?

21haribulan…
Disini luput ilhamku
Disini mati bicaraku
Dan…
Disini jua pandanganku kosong.

21haribulan…
Kumengharap sinarmu
Menutup kepiluan
Menyuci kesuraman
21haribulan…
Esok.. Kau akan berganti
Kau kan pergi
Tapi tetap kembali
Dan aku
Inikah aku yang berdiri
Atau aku yang akan tetap berlari
berjumpa disimpang hari…

anakmu...

MA... BALIK KETANI MA AH... (part 1)

Hari ani, 20hb. February 2012, genap 2 bulan Mama meninggalkam kami. Hari ani jua, 2 bulan yang lalu, Si Awang, Si Aji dan Si Alai ke KK menggunakan kereta menuntuti Mama yang mendapat kemalangan. Dan, 2 bulan yang lalu, Bapa sama Si Busu ke KK menaiki kapalterbang yang disewa khas oleh Kerajaan Kebawah Duli untuk memaduli mangsa-mangsa kemalangan bas di Sabah....

"Kira saja 5 hari, balik tah Mama tu..."
Ibarat sebuah kelimat yang keramat apabila Mama memberitahu Si Busu, ia akan balik dari KK lapas 5 hari. Dan, Mama menepatinya. 20hb Disember 2011, genap 5 hari dari tarikh Mama berada di bumi Sabah dan ia akhirnya balik ke Brunei. Di bumi Darussalam ani tah ia kembali untuk selama-lamanya. dan sesuai janjinya arah Si Busu.

Bertepatan jua seperti pesanan Mama arah Si Alai untuk minta ambil balik. Dan 21hb Disember, 2011 Si Alai mengambil balik Mama. Mengambil balik dari Sabah dan membawa ke bumi Brunei dengan sempurna. Ya... sempurna. Sesempurna sekujur jenazah yang telah disempurnakan urusannya. Cuma tinggal untuk dikebumikan saja lagi.

Dan 2 bulan lalu, Di bumi kelahiran Mama, aku menanti satu keajaiban yang inda mungkin terjadi, hinggalah pada 21hb Disember 2011 aku mendapat kata muktamat. Mama sudah meninggal dunia. Seluruh udara yang ku sedut untuk bernafas ibarat terhenti, dan seluruh airmata yang tersimpan mengalir semahunya. sampailah aku memberitahu arah biniku pada subuh atu: "Abang mau menunggu mama esok..." dan kupejamkan mataku untuk mencari sedikit ruang untuk bernafas.

Sejak dari hari atu, aku inda pernah tahu apa yang terjadi di KK semasa Bis Bapa dan anak-anaknya menuntuti Mama di Sabah sampailah si Busu menzahirkan tiap detik yang dilalui di Sabah dalam usaha untuk menyampaikan hajat Mama yang akan balik selepas 5 hari seperti janjinya arah Si Busu dan minta ambil arah Si Alai. Berikut adalah kisah didalam kepekatan subuh yang suram...




PART I
Assalamualaikum,
Sebenarnya aku inda pandai kan memulakan penulisan ani… tapi kan ku cuba..mun Aidah dapat, mengapa pulang munchunya inda… Ganya munchunya ani bukannya ‘poetic’ macam bapa Aidah…

Anyway, tujuan ku mengongsikan pengalaman sepanjang 12-13 jam semasa berada di KK pada 21 Disember 2011 adalah untuk memenuhi request  Bang Amit. Tapi yang paling penting, untuk menceritakan dengan lebih mendalam apa yang kami lalui di KK.

Bermacam-macam yang ku lalui sama Bapa, Bang Birin, Bang Aji dan Kanih sepanjang kami di KK.  Selepas Bang Aji dan Kanih balik ke Brunei menggunakan kereta sekitar 3:30pagi, yang tinggal hanya Bapa, Bang Birin dan aku…menemani Mama agar ia inda keseorangan di negara orang…

Urutan kejadian awal telah ditulis oleh Bang Amit, jadi inda perlu diulangi semula.  Ku mulakan penulisan dari saat ku menerima panggilan telefon dari rakan kerja yang prihatin sekitar jam 11:15pm pada 20 Disember 2012.

“Hajah, ada chartered flight disediakan oleh Kerajaan, boleh bis Hajah ikut. Untuk setiap passenger bas, 2 ahli keluarga dapat ikut…. Bersedia saja Hajah dengan travel dokumen masa ani, I will tell you when you should go to airport… bis Hajah belayar bersama Pemangku Menteri Kesihatan dan rombongan Kerajaan yang lain…”.  Aku diberi contact number pegawai Kementerian Kesihatan dan terus ku call /sms memberi nombor passport ku dan Bapa.

Pada masa atu, aku dan Billah baru bertolak dari rumah kan ke ofis untuk memprint tiket penerbangan ke KK flight 7am esoknya.  Kami baru keluar simpang rumah semasa menerima panggilan telefon tersebut.  Kami membuat keputusan berpatah balik ke rumah untuk packing barang yang kan dibawa ke KK… belum sampai 5 minit ada sms ku terima, “Hajah, you can go to the airport now..”.  Sampai saja dirumah terus ku beritahu Bapa yang duduk di meja dapurku sama Ka Dayang dan Bang Amat…”Pa..belayar ketani malam ani jua… ke airport tani awal ani…” Bapa segera berdiri menyediakan apa yang patut dibawa, terutamanya ubat-ubatannya.

Brunei International Airport & KK International Airport
Sejurus sampai di Brunei International Airport, tarus ku kenalpasti orang Kementerian Kesihatan untuk mendaftarkan diri sama Bapa.  Passport kami diambil untuk diuruskan bagi mengeluarkan Boarding Pass.   Sempat ku mengesahkan nama Mama sebagai salah seorang penumpang bas dalam senarai yang ditunjukkan kepada ku oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

Sementara kami berjalan menuju Gate 5, Bapa sempat bercakap “Busu, ketani bawa balik Mamamu biartia di Hospital Brunei ia dapat rawatan” …Bapa masih lagi menaruh harapan Mama masih hidup..

“awu Pa…apa pun jua tetap Mama ketani bawa balik”.. atu jawab ku…

“Tapi lain perasaanku ani Busu…hancur luluh rasa hatiku ani…lain rasanya”…aku hanya diam mendangar cakap Bapa.. luahan nalurinya sebagai suami..

Kami berlepas dari Brunei sekitar 12:30 pagi dan sampai di KK International Airport dalam jam 1.30pagi. Sepanjang penerbangan, semua penumpang kelihatan sugul dan diam sahaja. Walaupun penerbangan diatur secara last minute, RBA tetap menjalankan urusan seperti penerbangan komersial biasa, memberikan minuman kepada penumpang. Sempat aku sama Bapa minta panadol untuk dimakan.

Turut sama dalam penerbangan adalah YB Pemangku Menteri Kesihatan, YB Menteri Kewangan II, Pemerintah ABDB, SUT Kementerian Kesihatan, SUT Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pemangku SUT Kementerian Perhubungan, 8 orang doctor, 2 psychologist, pegawai-pegawai Imigresen dan ramai lagi pegawai2 kanan Kerajaan.  Alhamdulillah, syukur atas pemedulian KDYMM Sultan dalam memudahkan semua urusan.

Sejurus sampai di KK International Aiport, laluan kami mudah sahaja. Inda perlu check passport, kami terus disuruh menaiki bas yang disediakan pihak Konsulat.

Queen Elizabeth II Hospital, KK

Bas menuju ke Hospital Queen Elizabeth. Sepanjang penerbangan dan perjalanan, aku inda pututs-putus berdoa semoga Mama selamat dan tidak merasai kesakitan…masih inda mahu percaya apa yang diberitahu melalui telefon dari Hospital KK malam tadi.  Aku sms update kepada Kanih dan keluarga di Brunei memberitahu destinasi kami malam itu.

Melihat perkarangan Hospital ada digital signboard “Blood Supply Critically Low”..terus ku mentally prepare kan menderma darah sekiranya Mama memerlukan….

Kami turun bas dan baru melangkah ke lorong Hospital bila ku lihat Kanih dengan tangisnya berlari mendapatkan Bapa… “Pa… Mama meninggal Pa…”  Kanih memberitahu.. Bapa terus terdiam….hanya mengungkap “Ya Allah Ya  Tuhanku…”

Masuk ke lobby hospital terus ku mendapatkan Bang Birin dan Bang Aji, masing2 kami bertangisan… Bang Birin menujukkan doctor yang memegang senarai mangsa..Terus ku tanyakan meminta kepastian..

Doktor berbangsa India menunjukkan senarai 7 nama ‘Deceased’..nama yang ke – 6 tertulis “HAJAH DAYANG NORHAYATI HAJI ABD HADI”.. ku tanya doctor..”Are you sure it’s her doctor? Maybe you have the wrong name because in the passenger list I saw in Brunei, my mother was registered as Hajah Dayang..”

Bang Birin menenangkan aku bila melihat Doctor tadi cuma terdiam..Selepas itu kami dibawa bersama keluarga mangsa yang lain ke Bilik Mayat bagi tujuan mengenalpasti jenazah.

Bilik Mayat, Queen Elizabeth II Hospital, KK

Kami terpaksa berjalan kaki hampir 1 km dari hospital ke bilik mayat.  Perjalanan mengambil masa mungkin 30 minit tapi terasa sangat jauh untuk dijalani.. Dalam waktu sekitar 2pagi, lorong yang dijalani sangat gelap, hanya mengharapkan cahaya dari street light dan pavementnya berlubang-lubang.  Kami merentas kawasan perumahan banglo untuk menuju ke bilik mayat.  Bang Birin mendahului dulu, Bang Aji mengambil kereta dari hospital dan memandu ke bilik mayat, aku dan Kanih sama-sama menuntun Bapa di belakang.  Kami jelas ketinggalan dari keluarga mangsa-mangsa lain.  Hanya 2 orang wakil dari RBA yang ada di belakang kami.  Kami sama-sama tersesat semasa mencari bilik mayat.

Sampai di bilik mayat, kami keluarga yang ketiga menunggu giliran untuk mengenalpasti.  Macam-macam perasaan yang dirasai…. Setiap keluarga yang keluar dari bilik mengenalpasti menangis sambil dibawa petugas hospital ke bilik yang lain.

Tiba giliran kami akhirnya.  Kami 5 orang masuk ke sebuah bilik pejabat mengikut seorang doctor. Doctor terus bertanya “Did she wear any dentures?”

“Yes… mama pakai gigi palsu atas dan bawah” ku jawab.

“Dimana dia pernah operation?” Doctor bertanya lagi.

Ku tunjukkan rusuk sebelah kanan, Kanih memberitahu ada pernah operation di dada… Dr bertanya lagi kalau Mama pernah operation di bawah perut… Ku jawab “Pernah…”

“Anyone ada heart problem…sakit jantung?” kami semua terdiam sampai Bapa menjawab “Saya pernah buat bypass doctor…”

“Awak sanggup tengok ke?” Dr tanya lagi dan bapa menjawab dengan yakin “saya sanggup tengok”.

Kami dibawa ke sebuah meja dan Dr mengeluarkan beberapa keping gambar.  Sekeping gambar diletakkan diatas meja untuk kami kenalpasti.

Kami berlima terus menangis tidak terkata apa-apa sejurus melihat sekeping gambar yang sangat memilukan..Gambar Mama dari paras leher keatas. Mata Mama tertutup rapat, ada kesan luka berdarah didahinya sebelah kanan.  Namun rupa paras Mama kelihatan sempurna dan tidak menyukarkan kami untuk mengenalpasti.

Kami pun memastikan bahawa orang didalam gambar atu adalah Mama.  Selepas itu Dr membawa kami ke sebuah bilik bagi melihat jenazah…Sebelum masuk ke bilik itu, Bapa berpesan “ketani bacakan Surah Al Fatihah.”

Kami melihat ada sekujur jenazah diletakkan diatas sebuah katil.  Jenazah ditutup sepenuhnya dengan kain putih…masih ada kesan darah pada kain tersebut.  Lama kami berlima berdiri melihat jenazah yang masih tertutup.  Akhirnya Bang Birin membuka kain tersebut.  Kami berlima menangis semaunya.  Terbujur kaku adalah jenazah Mama yang telah di bedah siasat.  Menurut Dr semua jenazah dibedah siasat memandangkan kes ini adalah kes polis.

Wajah Mama tenang dan kulitnya putih…Matanya tertutup rapat … ku capai kaki mama dan ku cium kakinya.  Masing-masing kami mencium mama.. Badannya sejuk dan kaku..ku cium lagi dahi mama… Kanih inda dapat mengawal perasaan… “Mama..bangun Ma… ani aku mengaga kita… kita jua minta aga arah ku… ani ku sudah datang, bangun Ma…”

Aku cuba mengawal Kanih dari terus meraung.. takut menjadi kesakitan pada roh Mama… “Nih..sudah Nih, jangan menangis cmatu, sakit karang Mama, mari tah ketani membaca Surah Al-Fatihah”.. Kami berlima pun membaca Surah Al-Fatihah.  Bacaan surah Al-Fatihah yang pertama untuk Mama…Masa atu, setelah melihat jenazah Mama, baru ku percaya Mama sudah meninggal dunia…

Selepas mengenalpasti, kami disuruh kembali ke ruang menunggu.  Aku lihat Bapa tersandar duduk sambil memanjatkan doa untuk kesejahteraan Mama di akhirat.  Kami mula menelefon ke Brunei, menyampaikan khabar pada keluarga.  Aku menemani Bang Birin menandatangani beberapa paperwork, termasuk laporan polis.  Semuanya untuk urusan membawa balik jenazah.

Sekitar jam 3:30pagi, Bang Aji dan Kanih mengambil kepututsan balik ke Brunei menggunakan kereta bagi menunggu Mama balik di Brunei.  Bapa berpesan pada Bang Aji, “bisai-bisai driving, kalau mengantuk bawa berehat dulu”.  Setelah Bang Aji dan Kanih bertolak balik, tinggallah aku sama Bapa dan Bang Birin menemani Mama di negara orang.


Selasa, 7 Februari 2012

MAMA, KU INGIN JADI AWAN...

MAMA,  KU INGIN JADI AWAN…’



 
“Mama…
Sebuah pemergian yang kau rancang
sebuah kegembiraan yang terbayang
Membawa sebuah kenangan yang mencengkam…

Mama…
Tiap kata kau ungkap sudah
Memesan pada yang ada
Memaduli pada yang tertinggal
Bersama sebuah hajatmu yang terbuku
Biar tak kesampaian
Tetap kami tunaikan…

Mama…
Sejak kau pergi
Ku tercari bayang-bayangmu
Separuh nyawaku luput
Semangatku mengalir keluar bersama airmata
Menahan gelora rinda didada

Mama…
Kucuba menahai badai sebakku
melawan arus kehilanganmu
berdiri bersama kaki yang kaku
menjalani kenangan bersamamu…

Mama…
Tika ku dongak kelangit
Dan awanpun berarak lembut
Biar angin bertiup ganas
Dan awan tetap berlalu….

Mama…
Aku ingin menjadi awan
ku ingin tetap berjalan
Akan ku ingin meredah malam
Dan…
Mama…izinkan ku terus mengenangmu…

Nukilan anakmu

LANCHANG KUNING & GURINDAM JIWA....

Habis saja aku mengganti ke Temburog, namaku kana calonkan untuk ikut training ‘Fire Marshell’.

Dalam ku melangkah tempat yang ditetapkan, tekanangku kan Mama. Dulu aku pernah mengantar dan mengambil Mama balik keraja disini. ‘Pusat Latihan Bomba Berakas’. Disinilah mama memulakan kerjayanya bermula sebagai pembersih sampailah menjadi tukang masak.

(Disini mama mula bekeraja sebagai pembersih dan lapas atu jadi tukang masak)



Disinilah Mama menjadi antara orang yang penting dalam usaha menyelamatkan nyawa. Semua makan-minum bomba waktu atu, Mama dan kawan-kawannya yang menyediakan. Dari minum pagi, makan tengah  hari sampailah makan malam. Mungkin kalau bis Mama dan kawan-kawannya inda menyediakan makan-minum, pasti ada bomba yang inda sampat makan waktu memadam api.

Disana, aku jumpa dengan salah seorang pegawi bomba yang masih ingatkan Mama, Puan Rozita. Ia sendiri merista pasal Mama.
“Dulu aku rapat bah tu sama mulah mama mu ah, selalu ku minta masakkan Maggie arahnya tu – “Kajah  Dayang, masakkan ku Maggi” cerita Puan Rozita arahku.

Bila ku mendangar cerita Puan Rozita atu, nyaman jua hatiku. Rupanya, biarpun Mama sudah lama beranti dari kerjanya, masih ada orang yang mengingat baik kan Mama.

“Kan berantiku Mit …, kesianku kan Bapamu…, orang kupaduli makan-minumnya, Bapamu kelaparan dirumah…” antara luahan kata-kata Mama yang pernah diungkapkannya arahku masa ia kan membuat keputusan kan beranti keraja. Sebenarnya masa atu Mama memerlukan sokongan untuk membuat keputusan.
“Mana saja kita…lagipun, dulu kita bekeraja, kan untuk mengisi masa kita…, ani kita sudah tepikirkan cematu, lagi baik…, sekurang-kurangnya dapat kita memaduli Bapa, kalau kami balik ada jua kita dirumah…” kataku memberi sokongan supaya Mama inda akan rasa bersalah kalau ia beranti keraja.

Hasil dari persaraan Mama dari bomba, ternyata menambah warna-warni perjalanan hidup dalam hidup Mama. Mama dapat memaduli Bapa dan kami semua dengan lebih sempurna. Mama jua mempunyai masa untuk membuat business kecil-kecilan.

Kalau Kami ke Kampong, pasti ada Bapa Mama. Dan yang pasti Bapa akan mengual DVD cerita lama-lama sambil mama akan duduk didapur mengupas udang sambil telinganya mendengar cerita yang bapa mainkan di DVD.Antara cerita dan lagu yang menjadi kegemaran Bapa Mama ialah:


LANCHANG KUNING
GURINDAM JIWA






Bila kuhayati tiap bait lirik lagu ‘Gurindam Jiwa’ dan urutan cerita ‘Lanchang Kuning’, aku dapat rasakan atutah gambaran sebenar isihati Bapa Mama dalam durang melayar bahtera suami isteri.
“Gurindam Jiwa”


 






‘Tuai padi antara masak
 Esok jangan layu-layuan
 Intai kami antara nampak
 Esok jangan rindu-rinduan

 Anak cina pasang lukah
 Lukah dipasang di Tanjung Jati
 Di dalam hati tidak kulupa
 Sebagai rambut tersimpul mati
 ………  
 Batang selasih permainan budak
 Daun selasih dimakan kuda
 Bercerai kasih bertalak tiada
 Seribu tahun kembali juga

 Burung merpati terbang seribu
 Hinggap seekor di tengah laman
 Hendak mati di hujung kuku
 Hendak berkubur di tapak tangan

 Kalau tuan mudik ke hulu
 Carikan saya bunga kemboja
 Kalau tuan mati dahulu
 Nantikan saya di pintu syurga’

Bagiku, antara bait lagu yang paling menyentuh hatiku:
‘Batang selasih permainan budak
 Daun selasih dimakan kuda
 Bercerai kasih bertalak tiada
 Seribu tahun kembali juga…’
Ternyata bait lagu atu menceritakan kisah sebenar perjalanan cinta Bapa Mama.  Kisah penghujung perkongsian hidup Bapa Mama. Apabila Bapa dan Mama terpisah oleh masa, terpisah oleh alam dan kisah pabila Bapa dan Mama terpaksa terpisah…, terpisah bercerai kasih, terpisah tanpa talak dan terpisah dengan ikatan durang masih lagi sebagai suami isteri… rupanya durang terpisah oleh sebuah pemergian yang hanya akan diketemukan semula disyurga…Amin…