Sabtu, 25 Februari 2012

MA... BALIK KETANI MA ...(part 2)

PART II

Bilik Gerakan, Queen Elizabeth II Hospital, KK

Setelah semua waris mengenalpasti jenazah, kami semua dibawa balik ke Bilik Gerakan, Hospital QE.  Yang digelarkan Bilik Gerakan ani sebenarnya adalah bilik mesyuarat.  Disanatah jua mangsa yang mendapat kecederaan ringan berehat, belimpang atas kusyen kerusi yang diampaikan diatas lantai.  Disanatah jua pasukan Kementerian Kesihatan memberi rawatan yang mampu diberikan. Disanatah jua operasi dan urusan membawa balik jenazah dibuat.  Semuanya dibuat didalam bilik atu. 

Kami keluarga mangsa hanya duduk melihat keadaan sekeliling. Pihak Kementerian Kesihatan memberikan sebotol air mineral dan sepotong roti biskut kepada setiap seorang.  Ku lihat bapa minum air dan memakan biskutnya…mungkin ia lapar. Kusimpan dulu biskutku untuk kemudian. 

Kemudian YB Pmk Menteri Kesihatan membawa siapa yang ada dalam bilik atu bertahlil.  Tahlil diketuai oleh SUT Kementerian Hal Ehwal Ugama.  YB Pmk Menteri Kesihatan duduk betul-betul berhadapan dengan bapa.  Dalam ku mengikut bacaan tahlil, mataku melirik ke sebelah kanan, melihat pintu masuk Bilik Gerakan.  Disini terjadi pengalaman yang inda dapat ku lupakan.

Mungkin ia imaginasiku, tapi berkali-kali ku gosok mataku, melap airmata yang keluar supaya penglihatan lebih jelas..apa yang ku lihat tetap sama.  Di  muka pintu bilik Gerakan, ku lihat ada Mama berdiri disana.  Wajahnya bersih bercahaya, tersenyum melihat aku… Adakah ia imaginasiku?  Aku tunduk dan melap air mata dan ku lihat lagi kearah pintu…ku lihat Mama masih berdiri disana… Tersenyum kepada ku dengan kedua tangannya mendakap di dadanya seolah-olah sedang berdoa…

Sempat ku beritahu Bapa yang sedang bertahlil….”Pa… Mama tu berdiri di pintu ah…”

Bapa menoleh kearah pintu dan terus bercakap “ Busu, bawa membaca-baca..jangan cemani, kau lagi karang kan difikirkan disini”.. Selepas Bapa cakap cematu, ku lihat semula ke muka pintu…inda ada lagi Mama yang ku lihat tadi.. Wallahu’alam.

Selesai bertahlil, Bapa menyertai sembahyang Subuh berjemaah.  Sekali-sekala ada Bang birin datang ke Bilik Gerakan, ia sibuk menguruskan dokumen sebab Bapa mewakilkan arah Bang Birin untuk semua urusan dokumentasi.

Belum lama selepas selesai sembahyang Subuh, kami semua diberi penerangan oleh YB Pemangku Menteri Kesihatan mengenai urusan yang akan dibuat keatas jenazah.  YB Menteri meminta izin dari keluarga bagi semua jenazah untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan di KK sebelum diterbangkan ke Brunei.  Biar sudah selesai urusan dan sempurna diterima di Brunei.  Mengikut perancangan semua jenazah akan dibawa dulu ke Jame-Asr untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke rumah masing-masing untuk kali yang terakhir.  Kereta jenazah juga telah diuruskan dan disediakan untuk setiap jenazah yang dibawa balik.

Aku ingat Bapa menjawab masa atu “Kaola serahkan saja kepada abis Pehin, kaola nda lagi terdaya masa ani, kalau baik pada Pehin, baik tah jua kepada kaola…”. 

Selepas itu para keluarga mangsa yang terkorban dikumpulkan lagi untuk dibawa mengiringi jenazah untuk dimandikan dan dikafankan.  Aku, Bapa dan Bang Birin menaiki kereta yang disediakan menuju semula ke Bilik Mayat, tempat terjadinya memori paling sedih dalam hidupku.

Bilik Mayat, Hospital Queen Elizabeth II, KK, waktu sekitar 5 – 6 pagi.

Kami sampai ke bangunan Rumah Mayat.  Ada beberapa buah kereta jenazah beratur menunggu giliran untuk membawa jenazah.  Kami disuruh masuk untuk mengesahkan dan seterusnya mengiringi jenazah.

Aku, Bapa dan Bang Birin hanya berdiri melihat bangunan Rumah Mayat ani dari jauh… setelah kami di panggil masuk, perlahan-lahan kami mula berjalan.  Tiba-tiba Bapa berhenti melangkah dan kami merasakan badannya hampir rebah…

Dengan airmatanya Bapa pun bercakap “Birin, Busu…. Mamamu bejalan dari kediaku sempurna ia… ani mengapa mayatnya yang ku ambil…?” Kami inda terbunyi mendangar luahan hati Bapa… Kami bertiga hanya menangis di luar bangunan Rumah Mayat.

Tapi terpaksa jua kami tempuhi…kami masuk ke dalam dan dibawa ke tempat penyimpanan jenazah yang agak dingin suhunya.  Ku lihat ada nama Mama di tampal pada pintu tempat penyimpanan yang tengah-tengah…Pintu empat segi itu dibuka dan katilnya ditarik… Kami mengesahkan jenazah Mama dan jenazah Mama pun ditempatkan didalam keranda yang disediakan.  Keranda pun dimasukkan kedalam kereta jenazah…

Kami bertiga masuk dalam kereta jenazah bersama keranda… Masa atu sungguh ku terasa dagang… Aku menangis… menundukkan kepala diatas keranda Mama….inda percaya dengan apa yang ku lalui…. Kami sudah berjanji inda kan meninggalkan Mama sendiri…. Dan akan kami iringi setiap perjalanan….

Dalam tangisku, mulutku inda henti membacakan Surah Al-Fatihah..Cuma atu yang ku ingat… Bapa menyuruh aku bertenang dan jangan terlampau menuruti tangis dan perasaan….

Kami dibawa ke Kem Pengkalan Tentera Lok Kawi untuk urusan selanjutnya.

Masjid As-Salam, Kem Pengkalan Tentera, Lok Kawi, sekitar 6:30 pagi

Kami tiba di Masjid As-Salam, Kem Pengkalan Tentera Lok Kawi. Bang Birin segera mendangani mengangkat keranda Mama masuk kedalam satu kompleks bangunan kecil, inda jauh dari masjid, kira-kira 500m.  Rupanya bangunan atu tempat memandikan jenazah.

Aku mendangani Bapa..mencari tempat duduk yang sesuai untuk Bapa… Kami berehat diatas sebiji batu besar dibawah pokok diluar Masjid… Disana tah Bapa duduk menunggu…

Tiba-tiba Bang Birin memanggil aku dari tempat memandikan…. Sudah ku aga, Bang Birin mengunjuk sebuah beg plastik… “nah Busu pigang ni… seluar baju Mama…” Kami berdua bertangisan lagi melihat pakaian Mama yang dipakainya semasa kejadian….

Bang Birin menyuruh aku masuk kedalam tempat memandikan… ku lihat jenazah Mama diletakkan bersama 3 jenazah perempuan yang lain… Aku inda tau apa yang patut dibuat…. Ku telefon Billah meminta nasihat..”Masuk saja ikut….Mula-mula liat dulu lepas atu dangani menjangkau jua…dengani menggosok-gosok…”

Perlahan-lahan aku pun mengambil sarung tangan getah untuk menolong penggapai-penggapai yang ada.  Aku menolong memegang jenazah dan memerhatikan cara memandikan jenazah.  Sempat ku menolong urusan untuk 2 jenazah…

Mama jenazah ketiga untuk dimandikan…. Sempat Bapa masuk sekajap…. Dan aku pun berpasan arah Bang Birin “…jangan tinggalkan aku Bang Birin….dengani aku disini..”

Setelah jenazah Mama diletakkan diatas tempat pemandian, kain penutupnya pun dibuka.  Baru lah aku nyata melihat Mama… wajah Mama sama macam ia tidur… tenang dan matanya tertutup rapat…. Tapi aku rawan hati melihat luka yang ada nampak dari kecederaan dan dari bedah siasat yang dijalankan… Luka Mama inda banyak..mungkin Mama banyak kecederaan dalaman… Badanku lamah melihat luka-luka kecil di jari Mama..terbayang ku tarus jari-jarinya atu yang menguli tapung, mengurut badan dan kepala anak cucunya…. Ya Allah, mudahan Mama inda ada merasa apa-apa kesakitan pada saat akhir hidupnya…

Aku terus berpegang pada tempat pemandian…takut badan ku rabah sebab kaki terasa sangat lemah melihat Mama… Penggapai pun bercakap  “…Adik..jangan begitu adik..jangan terlampau menangis…. Adik mesti tabah… jangan airmata kena pada ibu….dan adik mesti yakin apa yang Adik buat untuk ibu adalah betul..jangan risau kakak akan tolong…”

Penggapai pun membantu dalam memandikan jenazah Mama…ku capai sabun dan ku cuci rambutnya…serpihan kaca dan ranting kayu melekat dirambut Mama… ku gosok bekas darah yang kering pada jari-jari Mama… masa atu aku berbisik pada Mama..”Ma…ampunkan aku kalau mandianku inda sempurna… aku inda pandai cmana Ma… nda ku tau…”… ku tahan air mata dari terus keluar dan menumpukan perhatian untuk menyempurnakan mandi untuk Mama…Bang Birin mendangani aku mengumpulkan rambut-rambut Mama yang luruh….

Setelah selesai mandi, aku sebagai waris perempuan yang ada disuruh mengambil wudhu untuk Mama… Kerana perasaan yang bingung… niat wudhu pun aku inda kan ingat… baik jua penggapai banyak membantu….

Selesai memandikan… aku dan Bang Birin mendangani mengkafankan Mama… Bapa pun masuk jua melihat jenazah Mama dikafankan.. ku bagi haruman pada jenazah Mama… Aku dan Bang Birin menggenggam kaki Mama yang telah dikafankan dan kami cium… sungguh rawan hati kami masa atu…

Jenazah Mama di tempatkan didalam Masjid bersama 6 jenazah yang lain untuk disembahyangkan… ku ambil Surah Yaasin dan duduk disebelah jenazah Mama membaca surah Yaasin…. Di beranda Masjid, tentera yang ada sibuk menyediakan keranda khas untuk jenazah… Bang Birin membantu memastikan keranda untuk jenazah Mama… Kalau aku inda salah.. keranda Mama No. 6, ditampal label nama Mama…

Ketujuh-tujuh jenazah disembahyangkan di Masjid Lok Kawi…. Hiba suara imam yang mengimamkan menahan sendu tangisnya.. aku berdiri diluar masjid menunggu jenazah Mama dibawa turun… Cuaca di KK terasa sangat panas..macam menggigit di kulit rasanya… jauh berbeza dari cuaca di Brunei yang kami kena beritahu hujan turun dengan lebatnya..

Selesai sembahyang, jenazah satu persatu dimasukkan dalam keranda… dan diangkat kedalam kereta jenazah yang menunggu…. Aku, Bapa dan Bang Birin masuk kedalam kereta jenazah bersama Mama…mengiringi jenazah mama dalam perjalanan terakhirnya di dunia ini….

Kami dibawa ke KK International Airport… kelihatan kapal terbang RBA sudah menunggu untuk membawa kami balik.

KK International Airport

Sampai di airport, Bang Birin segera membantu mengangkat keranda Mama untuk dimasukkan kedalam pesawat.. Aku membawa Bapa ke tempat menunggu dan segera naik ke kapal terbang setelah diarahkan.

Dalam kapal terbang, Bapa menangis…”Orang keluar negeri membawa cenderamata..aku keluar negeri membawa mayat biniku..”

“Sabar Pa…sudah cubaan ketani….baiktah kita bawa tidur Pa…sudah sampai di Brunei… ada lagi urusan kan diselasaikan..bawatah tidur sekajap…” Ku cuba tenangkan hati Bapa…

Bang Birin pun masuk kedalam kapal terbang dan duduk sebalahku… Kami diberi air oleh stewardess yang bertugas…biskut yang kusimpan tadi ku bagi Bapa…terus dimakannya…baru tah kami terasa lapar…

Sepanjang penerbangan… Bapa sekajap saja belurih tidur…aku membaca Yaasin yang ku bawa dari Masjid Lok Kawi… dan Bang Birin tertidur sebelahku….Mama inda sendirian….kami mengiringi perjalanan Mama kali ani…

Brunei International Airport

Ramai orang ada di airport menunggu ketibaan penerbangan kami… suasana sedih menyelubungi airport… Bapa di takul hiba oleh orang yang ada di Airport sebaik sahaja keluar dari kapal terbang…menandakan rasa simpati atas apa yang terjadi…

Perjalanan kami ke KK dan pengalaman selama 12-13 jam tidak mungkin ku lupakan sepanjang hidupku… Disana kami mengenalpasti jenazah Mama..Alhamdulillah aku sempat menyempurnakan Mama..berpeluang memeduli Mama untuk kali yang terakhir…Disana jua kami mengambil Mama dan mengiringi perjalanannya yang terakhir…

Mama..sudah tertulis dalam Loh Mahfuz, kesudahan hidup yang dilalui… Ya Allah Ya Tuhanku, rahmatilah roh Mama… tempatkan rohnya disisiMu bersama orang-orang yang beriman.. Ampunkanlah dosa Mama Ya Allah, Terimalah amal jariahnya…terimalah amal ibadatnya….Ya Allah, aku teramat sayang pada Mama, tapi aku redha, Kau lebih menyayangi Mama..aku bersyukur keatas 32 tahun Kau pinjamkan Mama dalam hidupku…

Ya Allah Ya Tuhanku….limpahkanlah rahmatMu pada Bapa… tenangkanlah fikirannya, tabahkanlah hatinya dan sihatkan tubuh badannya… berikanlah kedua ibu bapaku kesejahteraan dunia dan akhirat….Kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihi kami sedari kecil…

Amin Ya Rabbal Alamin..

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan